Maksud Ayat : ... pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu menjadi agama bagimu... (Surah al-Maaidah : 3)
Photobucket

Daulah Islamiyyah

Jumaat, Mei 30, 2008

Al-Sarakhasi : mentakrifkan ia sebagai : "Ianya tempat yang berada di bawah pemerintahan orang Islam, tandanya ialah apabila orang Islam aman di bawahnya".

Al-Khatib al-Baghdadi (429 H) : Negera yang masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, dilaksankan hukum-hakam Islam, manakala ahli Bid'ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah" ( Usul al-Din, hlm 270 ).

Al-Imam As-Sya'ari (324 H) : "Negara Islam ialah negara yang berada di abawah penguasaan Islam dan dilaksanakan setiap hukum2 dan Syiar Islam" (Maqalat al-Islamiyyin wa ikhtilaf al-Musollin, hlm 22).

Syeikh Sa'id Hawwa (1989 M) : "Negara yang meletakkan undang2 Islam yang tunggal untuk mentadbir negara, ia dipimpin oleh orang Islam yang komited dengan ajaran agamanya.."( Jundullah thaqafatan wa akhlaqan, hlm 35).

Syeikh Abul A'la al-Maududi (1979 M) : "Negara yang dibentuk berasaskan AL-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW, kedua-dua sumber ini berfungsi sebagai pembimbing negara yang memberi keadilan kepada rakyat" ( Nazariyat al-Islamiyyah, hlm 41).

Prof. Dr Muhd Salam Madkury : Para Fuqaha mentakrifkan dar Islam sebg sebuah negara yang dipandu oleh hukum Islam, hukum-hakam Islam juga diamalkan di dlmnya. Sekiranya tidak, maka ia tidak boleh digelar dar Islam yang sempurna" (Ma'alim Dawlah Islamiyyah, hlm 60).

Para Fuqaha' telah membahagiakan Negara Islam ini kepada beberapa jenis :

a. Darul 'adl wa madani : Negara yang diperintah berlandaskan syariat Islam dengan adilnya serta membangunankan negara melalui tatcara yg sihat dan nilai murni.
b. Darul bagh : Negara yang diperintah oleh umat Islam yang menderhaka kepada kerajaan Islam yang adil.
c. Darul Bid'ah : Negara yang diperintah oleh orang Islam yang bercanggah dengan ajaran sebenar Islam
d. Darul Maslubah : Negara umat Islam yang dijajah oleh orang bukan Islam.
Apapun takrifan bagi negara Islam, hakikatnya tiada ertinya sebuah negara Islam tanpa pelaksanaan syariat Islam didalamnya kerana ia tidak akan mampu mengembalikan Islam ke mercunya yang sebenar.

Read more...

Faiz Kembara Ke Negeri Serambi Mekah

Khamis, Mei 29, 2008

Setelah genap 35 hari di negeri tumpah darah, akhirnya Faiz selamat kembara dan kembali ke negeri tumpah darah abi dan ummi. Walau pun masih dalam pantang, tetapi sebagai menyahut seruan abi dan ummi, Faiz nampaknya mengikut sahaja kata mereka, sebagai destinasi ke arah "waladun solehun in the making".

Syuran awi wahai abi dan ummi. walaun belum mencecah 40 hari, tetapi harapan menggunung mengikat tali ukhuwwah dan persaudaraan, Faiz bersedia. Berjumpa Tok Mek dan Tok Cik, mak sedara dan ayah sedara, tidak lupa juga semua sepupu, 2 pupu, 3 pupu dan macam-macam lagi.

Terima kasih semua... kalian nampaknya tidak sabar berjumpa dan mencium Faiz.

Read more...

DALIL KEWUJUDAN POLITIK DI DALAM ISLAM

Khamis, Mei 22, 2008

Sejak berkembangannya fahaman Sekularisme di kebanyakan pelusuk dunia, ramai menjadi terkeliru dengan istilah2 seperti 'politik kotor', tiada politik dalam Islam, Islam tiada kaitan dengan politik dan pelbagai lagi.
Justeru percubaan memisahkan politik dari prinsip Islam ini sentiasa diperjuangkan oleh musuh-musuh Islam dan anak buahnya dari kalangan umat Islam sendiri.



As-Shahid Sayyid Qutb berkata : Islam yang dikehendaki oleh Amerika dan kepimpinannya di timur tengah, bukanlah Islam yg menentang penjajahan, kezaliman, komunisme tetapi sebenarnya mereka tidak mahu islam memerintah, mereka mahu Islam yang membicarakan perkara yang membatalkan wudhu' sahaja, dan bukan persoalan ekonomi islam, politik islam, masyarakat islam dan kewangan islam.


Bagi mengembalikan kefahaman umat, menjadi kewajiban bagi merujuk kepada rujukan utama Islam dalam hal kesempurnaan Islam dalam kepelbagaian bidang kehidupan: Sesungguhnya orang yang kami berikan kpd mereka kekuasaan di atas muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan, melarang kemungkaran, dan kepada Allah mereka menyerahkan penghujung segala usaha" : Dan telah Kami turunkan kepada kamu, Kitab (al-Quran) yang didalamnya mengandungi penerangan terhdp semua perkara serta menjadi petunjuk dan rahmat dan membawa berita gembira bg muslimin"

Al-Hadith :


  1. Mafhum : "Apabila keluar tiga orang semasa bermusafir maka telah mesti ke atasnya melantik seorg drnya sbg ketua" ( Riwayat Abu Daud dan At-Tabrani, dgn sanad yg shohih)
  2. Mafhum : "Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang haq dihadapan pemerintah yang zalim"
  3. Mafhum : " Penghulu para syuhada; adalah Hamzah ra, kemudian lelaki yang bangun kpd pemerintah yang zalim lalu mengajaknya kpd kebenaran dan melarangnya dr kemungkaran lalu ia dibunuh krn itu" ( Al-Hakim mentashihkan hadith ini)
  4. Mafhum : "Brgsp yang mati, dlm keadaan tiada padanya suatu bai'ah( iqrar janji taat kpd pemimpin Islam) maka matinya seumpama dlm keadaan Jahiliyyah" (Riwayat Muslim)

Read more...

HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya : “Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. (Surah Al-Ra‘ad: 28)


Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.


Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.


Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.(Surah Al-Baqarah: 138)

Read more...

Aqiqah Nazar

Apa yang dimaksudkan dengan aqiqah nazar itu sama keadaannya dengan korban nazar. Iaitu binatang sembelihan bagi aqiqah itu menjadi wajib apabila ia dinadzarkan, sama ada nadzar itu nadzar yang sebenar (nadzar hakikat) ataupun nadzar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Sesiapa yang bernadzar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatiNya".(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Apa yang dimaksudkan dengan nadzar yang sebenar itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nadzar’. Sebagai contoh orang yang beraqiqah itu berkata: "Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai aqiqah", ataupun dia berkata: "Aku bernadzar untuk menyembelih kambing sebagai aqiqah anakku."


Adapun bernadzar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: "Aku jadikan seekor kambing yang aku pegang ini untuk aqiqah anakku", ataupun dia berkata: "Ini adalah aqiqah anakku", maka dianggap sama seperti bernadzar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘yin) binatang tersebut. (I‘anah ath-Thalibin: 2/526)


Oleh itu, menurut Ibnu Hajar bahawa aqiqah wajib yang disebabkan oleh nazar atau ta‘yin itu wajib disedekahkan kesemuanya dengan mentah. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/372) Sementara menurut Khatib Syarbini dan ar-Ramli bahawa tidak wajib disedekahkan kesemuanya dalam keadaan mentah bahkan sunat dimasak. (Nihayah al-Muhtaj: 8/146-147 dan Mughni al-Muhtaj:4/370)

Read more...

Daging Aqiqah

Daging aqiqah digalakkan supaya tidak disedekahkan dalam keadaan mentah, bahkan disunatkan supaya dimasak terlebih dahulu dengan sedikit rasa manis walaupun aqiqah itu aqiqah nazar. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258 dan Mughni al-Muhtaj: 4/370) Ini Kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka pada yang manis, sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya:
Maksudnya: "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka yang manis dan madu."
(Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan ad-Darimi)


Tujuannya ialah untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap keelokkan perangai dan budi pekerti anak yang diaqiqahkan.

Adapun jika dimasak dengan tidak ada rasa manis seperti dimasak dengan rasa yang masam, maka tidaklah ianya menjadi makruh kerana tidak ada larangan mengenainya.
Kemudian daging yang telah dimasak itu diberi makan kepada fakir miskin, sama ada dengan dihantar masakan itu ke rumah-rumah mereka atau dijemput mereka itu hadir makan di rumah tempat beraqiqah. Namun yang lebih afdhal adalah dihantar masakan tersebut ke rumah-rumah orang fakir miskin.


Adapun pangkal paha kambing di sebelah kanan sunat disedekahkan dalam keadaan mentah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak tersebut. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258) Ini kerana Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam menyuruh puteri Baginda Sayyidatina Fatimah Radhiallahu ‘anha melakukan yang demikian itu dengan sabda Baginda : "Timbanglah rambut Husain dan sedekahkan perak dengan seberat timbangan rambutnya itu dan berikan kepada bidan kaki aqiqah."(Hadis riwayat al-Hakim)


Sementara itu, sunat bagi orang yang beraqiqah memakan sebahagian kecil daripada daging binatang yang diaqiqahkan, selagi mana aqiqahnya itu bukan aqiqah wajib (aqiqah nazar) atau aqiqah kerana wasiat.
Demikian juga, daging aqiqah itu sunat dihadiahkan kepada orang kaya, dan dia memiliki apa yang dihadiahkan kepadanya itu. (Mughni al-Muhtaj: 4/370) Dengan maksud memiliki itu adalah orang kaya tersebut boleh memakan atau menjualnya. Akan tetapi daging aqiqah itu haram diberi atau dijual kepada orang kafir.


Dalam hal memakan, menyedekah dan menghadiahkan daging aqiqah tersebut sama keadaannya dengan korban.


Semasa memotong daging disunatkan supaya jangan dipecah-pecahkan tulang binatang aqiqah itu, bahkan disunatkan supaya mengasingkan tulang-tulang itu mengikut sendi-sendinya. Sebagaimana dalam hadis daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya: "Afdhal bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing. Dipotong anggota-anggota (binatang) dan jangan dipecah-pecah tulangnya."(Hadis riwayat al-Hakim)


Ini bertujuan untuk bertafa’ul (menaruh harapan baik) terhadap tulang anak itu nanti tidak pecah dan tidak patah sebagaimana tidak pecah dan tidak patahnya tulang-tulang binatang aqiqah itu.
Adapun jika dipecah-pecahkan tulang aqiqah itu, maka tidaklah ianya menjadi makruh akan tetapi hanyalah menyalahi yang utama (khilaf al-awla). (Al-Majmu‘: 8/322)

Read more...

Binatang Aqiqah Serta Syarat-Syaratnya

Binatang yang sah disembelih untuk aqiqah itu sama seperti binatang-binatang yang sah dibuat korban. Untuk lebih jelas lagi disebutkan syarat-syarat binatang yang sah untuk dibuat aqiqah itu ialah:


Binatang aqiqah itu hendaklah binatang ternakan (na‘am) seperti unta atau yang sejenisnya, lembu atau yang sejenisnya seperti kerbau dan kambing atau yang sejenisnya seperti biri-biri dan kibasy. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala: "Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syari‘atkan ibadat menyembelih korban supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka daripada binatang-binatang ternak yang disembelih itu".(Surah al-Hajj: 34)

Seekor unta, lembu atau kerbau itu boleh dikongsi oleh tujuh orang sama ada daripada keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud aqiqah, misalnya ada di antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja ataupun daging korban. Ini dijelaskan dalam sebuah hadis:
Maksudnya: "Kami keluar bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam (dari Madinah) mengucapkan tahlil (Lailahaillallah), dengan berniat untuk mengerjakan haji, maka Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami berkongsi pada unta dan lembu, setiap tujuh orang daripada kami bagi seekor badanah".(Hadis riwayat Muslim)


Seekor kambing pula hanya untuk seorang sahaja tidak boleh dikongsikan. Jika dikongsikan seekor kambing itu untuk dua orang atau lebih, maka tidak sah aqiqah tersebut.


Afdhalnya binatang yang dibuat aqiqah itu yang berwarna putih, kemudian yang berwarna kuning, kemudian yang putih tetapi yang tiada bersih putihnya, kemudian yang sebahagian badannya berwarna putih, kemudian yang sebahagian berwarna hitam, kemudian berwarna hitam semuanya, kemudian yang berwarna merah semuanya.


Binatang aqiqah itu hendaklah cukup umur, sebagaimana disyaratkan di dalam korban. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: "Jangan kamu menyembelih korban melainkan yang telah musinnah kecuali jika kamu sukar mendapatkannya, maka sembelihlah anak daripada biri-biri."(Hadis riwayat Muslim)


Adapun musinnah itu ialah ats-tsaniy (yang gugur gigi hadapannya) daripada binatang ternakan unta, lembu dan kambing. Maka ukuran umur bagi binatang aqiqah itu ialah:


a.Unta yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya lima tahun dan masuk tahun keenam.


b.Lembu dan kambing yang gugur gigi hadapannya ialah yang telah sempurna umurnya dua tahun dan masuk tahun ketiga.


c. Manakala kambing biri-biri dan kibasy memadai yang berumur cukup satu tahun atau yang gugur gigi hadapannya walaupun belum cukup umurnya satu tahun dengan syarat telah melimpasi umurnya enam bulan. (Al-Majmu‘ 8/286-287 dan I‘anah ath-Thalibin 2/518)


3. Binatang aqiqah itu hendaklah sihat (tidak berpenyakit) dan selamat daripada kecacatan atau aib yang boleh mengurangkan daging atau lemaknya atau anggota lain yang boleh dimakan. Sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam: "Empat perkara yang tidak boleh ada pada binatang korban itu, lalu Baginda bersabda: "Buta yang nyata butanya, sakit yang nyata penyakitnya, tempang yang nyata tempangnya dan yang kurus dan lemah."(Hadis riwayat Abu Daud)


Daripada hadis di atas dapat difahami bahawa binatang yang tidak sah dijadikan aqiqah itu ialah:


i. Binatang yang buta atau rosak matanya atau yang tidak dapat melihat sekalipun biji matanya masih ada. Jika matanya itu ada sedikit kecacatan seperti sedikit rabun tetapi ia masih boleh melihat, maka ia sah dibuat aqiqah.


ii. Binatang yang jelas tempang kakinya yang mana jika ia berjalan bersama-sama sekumpulan kawan-kawan binatang yang lain di padang untuk mencari makan, ia tidak boleh ikut berjalan bersama dengan binatang-binatang itu, bahkan ia tertinggal jauh di belakang. Jika tempangnya itu sedikit iaitu tempang yang tidak menghalang daripada mengikuti kawan-kawannya, maka ia sah dibuat aqiqah.


iii.Binatang yang nyata sakitnya sehingga menjadikan binatang tersebut kurus dan kurang dagingnya. Tetapi jika sakitnya itu sedikit dan tidak mengurangi dagingnya maka ia sah dibuat aqiqah.


iv.Binatang yang kurus sama ada kerana sakit, gila atau kurang makan dan sebagainya.


v. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga sejak dilahirkan kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak gugur daripada dagingnya, walaupun sedikit.


vi.Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit atau terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya. Adapun yang dilahirkan tanpa berekor sejak dilahirkannya adalah sah dibuat aqiqah.


vii. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat aqiqah.


viii.Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.


ix.Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. (Al-Majmu‘ 8/293-2966 dan Mughni al-Muhtaj 4/520) Bagi binatang yang baharu beranak boleh dibuat korban berdasarkan pendapat Ibnu Hajar dalam Tuhfah dan Ar-Ramli dalam Nihayah, manakala mengikut pendapat Khatib Syarbini dalam Mughni bahawa binatang tersebut tidak memadai dibuatkan korban. (Sabilul Muhtadin 2/213)

Read more...

Hukum Melakukan Aqiqah Sebelum Kelahiran

Sebagaimana penjelasan di atas, jika penyembelihan aqiqah itu dilakukan selepas hari ketujuh ataupun sebelum hari ketujuh selepas kelahiran adalah memadai aqiqah tersebut. Ini kerana adanya sebab yang mensyariatkan ibadat aqiqah tersebut iaitu kelahiran anak. Akan tetapi jika aqiqah itu dilakukan sebelum kelahiran anak, maka tidak memadai aqiqahnya itu melainkan ianya hanya dikira sebagai binatang sembelihan biasa sahaja. (Al-Majmu‘: 8/323)


Adapun menurut Ibnu Hajar, tidak disunatkan aqiqah itu bagi anak keguguran melainkan jika ditiupkan padanya roh. Jika anak keguguran itu tidak ditiupkan padanya roh, maka tidaklah dibangkitkan dan tidak memberi manfaat anak itu di akhirat kelak. (Bughyah al-Mustarsyidin: 258)


Manakala anak damit yang mati sebelum atau selepas hari ketujuh daripada kelahirannya dan dia berkemampuan untuk menyembelih binatang, maka sunat diaqiqahkan anak tersebut. (I‘anah ath-Thalibin: 2/526 dan al-Majmu‘: 8/323)

Read more...

Waktu Aqiqah

Aqiqah itu sunat dilakukan sebaik sahaja anak dilahirkan dan berterusan sehinggalah anak itu baligh. Ini adalah pendapat yang paling rajih. Apabila anak itu sudah baligh, gugurlah hukum sunat itu daripada walinya dan ketika itu hukum sunat berpindah ke atas anak itu sendiri dalam melakukan aqiqah untuk dirinya sendiri.


Walaupun waktu yang disunatkan untuk beraqiqah itu panjang, tetapi yang afdhal hendaklah dilakukan pada hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Sebagaimana dalam hadis daripada Aisyah Radhiallahu ‘anha katanya maksudnya : "Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengaqiqahkan Hasan dan Husain pada hari ketujuh, memberikan kedua-duanya nama dan Baginda menyuruh supaya menghilangkan daripada keduanya kesakitan kepala (mencukur rambut kepala)."(Hadis riwayat al-Hakim)


Termasuk dalam kiraan tujuh hari itu, hari anak itu dilahirkan. Jika anak itu dilahirkan pada waktu siang sebelum terbenam matahari, maka hari itu dikira satu hari. Sebaliknya jika dia dilahirkan pada waktu malam, maka malam dia dilahirkan itu tidak dikira sebagai satu hari, bahkan kiraan tujuh hari itu bermula daripada hari selepasnya (siang berikutnya).
Waktu yang afdhal untuk menyembelih binatang aqiqah itu ialah setelah terbit matahari.
Jika tidak sempat melakukan aqiqah pada hari ketujuh, maka digalakkan juga melakukan aqiqah itu pada hari keempat belas daripada hari kelahiran. Jika tidak sempat melakukannya juga, maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Begitulah dengan seterusnya boleh dilakukan setiap kali berlalunya tujuh hari yang berikut, seperti pada hari kedua puluh lapan, tiga puluh lima dan seterusnya. (Al-Majmu‘: 8/323-324)


Di dalam kitab Kifayah al-Akhyar ada menyebutkan bahawa masa untuk menyembelih aqiqah (bagi yang mampu) itu hendaklah jangan melebihi tempoh sehingga kering darah nifas ibu yang bersalin. Jika tidak dilakukan aqiqah setelah kering darah nifas, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berhenti menyusu (dalam tempoh dua tahun daripada hari kelahiran). Jika tidak dilakukannya juga, maka bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi janganlah terlewat sehingga anak itu berumur tujuh tahun. Jika tidak dilakukannya juga sehingga anak itu berumur tujuh tahun, bolehlah dilakukan selepas itu, tetapi sebelum anak itu mencapai umur baligh. Jika anak itu mencapai umur baligh, maka pada masa itu diberi pilihan kepada anak tersebut untuk melakukan aqiqah bagi dirinya sendiri. (Kifayah al-Akhyar: 534)

Read more...

Hukum Aqiqah Anak Zina

Menurut Ibnu Hajar adalah sunat ibu tersebut melakukan aqiqah bagi anak zina itu, akan tetapi aqiqah itu hendaklah dilakukan secara sembunyi-sembunyi (tidak dizahirkan) agar tidak menimbulkan keaiban. (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 9/371)

Read more...

Pengertian Aqiqah

Pengertian Aqiqah Menurut Syara‘


Aqiqah dalam pengertian syara‘ ialah binatang ternakan yang berkaki empat (binatang an‘am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau selepasnya.


Hukum Aqiqah


Hukum melakukan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hasan dan Husain alaihimassalam. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda yang maksudnya :

"Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: "Barang siapa yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi anak perempuan seekor kambing."(Hadis riwayat Abu Daud)

Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika aqiqah itu dinazarkan baharulah ianya dipanggil aqiqah wajib.

Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :

"Anak-anak tergadai (terikat) dengan aqiqahnya, disembelih (aqiqah) untuknya pada hari ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya."(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis "anak tergadai dengan aqiqahnya" di sini. Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diaqiqahkan, anak itu akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak lain yang diaqiqahkan. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada hari kiamat kelak jika dia tidak diaqiqahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal, dan pendapat ini adalah pendapat yang terbaik. (Mughni al-Muhtaj: 4/369)


Orang Yang Dituntut Melakukan Aqiqah

Orang yang disunatkan melakukan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan itu ialah orang yang wajib memberi nafkah kepada anak tersebut, iaitu bapa atau ibunya sekalipun mereka itu orang fakir atau papa.

Aqiqah tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak wajib ke atasnya memberi nafkah kepada anak tersebut melainkan dengan izin daripada orang yang wajib memberi nafkah (bapa atau ibu). Sebagaimana Nabi pernah mengaqiqah cucunda Baginda Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain sama ada dengan sebab izin daripada Sayyidina ‘Ali menantu Baginda ataupun ketika itu Sayyidina ‘Ali dan isterinya tidak berkemampuan lalu tertanggunglah nafkah tersebut ke atas Baginda Rasulullah.

Belanja untuk aqiqah itu hendaklah diambil daripada harta bapa atau ibu itu sendiri dan tidak boleh diambil daripada harta anak yang hendak diaqiqahkan itu. Ini kerana perbuatan aqiqah itu adalah merupakan tabarru‘ (sedekah).

Jika diambil perbelanjaan itu daripada harta anak tersebut, maka aqiqah yang dibuat itu tidak sah dan ibu atau bapa tersebut wajib menggantinya. (Al-Majmu‘: 8/324 dan Mughni al-Muhtaj: 4/369)

Read more...

Profile Anakku

  • Muhammad Faiz Farhan
  • Dilahirkan pada 13 Rabiul Akhir / 20 April 2008
  • Hari Ahad
  • Bertempat di Hospital Slim River, Slim River, Perak Darul Ridzuan
  • Jam 5.38 pagi

Read more...

Mesyuarat Agung DPPK Tanjung Malim Kali-6

Isnin, Mei 19, 2008

TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada seluruj jentera pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjong Malim yang telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agungnya kali ke-6. Mesyuarat tersebut diadakan di Markaz PAS Serigala mulai jam 9.30 hingga 1.45 ptg tadi. Sdr Salman, Exco DPPN Perak telah menyempurnakan perasmian majlis berkenaan, setelah didahului oleh ucapan Ketua Pemuda, Sdr. Aminuddin Zulkipli dan YDP PAS Kawasan Tanjong Malim, Ust. Zulqarnain Bin Hassan.

Read more...

Kembara Interview Ke Ipoh

Rabu, Mei 14, 2008

15 Mei, Khamis – Tabah dan sabar buat isteri tercinta, Rosnaniza Ismail yang bakal menghadapi Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S41 (SPP) bertempat di Dewan Seminar, Lembaga Tabung Haji Negeri Perak, Bangunan Tabung Haji, Jalan Khoo Chong Kong, 30000 Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Peperiksaan berkenaan dalam bentuk khas, sahsiah dan minat. Semoga beliau berjaya dengan cemerlang. Mungkin inilah yang dikatakan rezeki anakku, siapa tahu. Selamat maju jaya.

Read more...

Al-Fatihah Buat Almarhumah Ibu Saudaraku

10 Mei, Sabtu – Al-Fatihah dan takziah buat keluarga ibu saudara penulis, Siti Fatimah Mohamad yang telah kembali ke Rahmatullah pada jam 6.00 di Hospital Kota Bharu. Allahuyarhamah yang menetap di Kusial bahru, tanah Merah, Kelantan meninggalkan seorang suami dan 5 orang anak telah dikesan menghidap pelbagai jenis penyakit, antaranya : kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi. Penulis dimaklumkan mengenai kematiannya pada jam 7.30 malam, bagaimana pun tidak dapat pulang ke Kelantan kerana isteri baru 20 hari melahirkan anak. Jarak perjalanan biasa dari Pasir Mas ke Sungkai, Perak biasanya memakan masa selama 7 jam.

Read more...

Tahnik

1 Mei, Khamis – Alhamdulillah pujian kepada Allah kerana dikurniakan cahaya mata lelaki yang comel. Semoga permata hati ini membesar mengikut lunas agama dan berpegang teguh dengan Ad-Din. Pada hari ini, penulis berkesempatan berjumpa dengan Imam Hamdan Bin Andong, Imam Masjid Felda Besout 4 untuk mentahnik (belah mulut) anak, Muhammad Faiz Farhan dan kemudiannya dengan Ustaz Muhammad Nor Sungkai, Naib Kadi Daerah Sungkai di kediamannya di Kampung Perlok, Sungkai, Perak darul Ridzuan. Sebelum itu, pusat anakku gugur tepat pada hari ketujuh.

Read more...

Terima Kasih Buat Sahabatku

Terima kasih banyak-banyak buat semua sahabat dan masyarakat setempat yang sudi meluangkan masa menziarahi cahaya mata saya, Muhammad Faiz farhan. Juga kepada seluruh kawan-kawan dari Malaysia hinggalah ke Mesir, dari Perlis hinggalah ke Sabah yang menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) melahirkan kegembiraan dengan kelahiran orang ketiga. Syukran awi...

Read more...

Pengorbanan Isteri Semasa Melahirkan Anak dan Pengalaman Suami Menemani Isteri Bersalin

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah ungkapan dan ayat yang bisa diperkatakan kepada isteriku semasa bakal melahirkan seorang anak, permata hati. Sebagai suami, kita hanya mampu menenangkan isteri di samping memperdengarkan alunan bacaan ayat suci Al-Quran. Tanpa ditemani sesiapa kecuali suami sebagai penguat hati, sewajarnya suami WAJIB meluangkan masa menemani isteri tatkala bakal melahirkan anak dan melihat penderitaan yang dihadapinya.

Read more...

Koleksi Kuliah Online

Soal jawab agama Online

Allah

Photobucket

Muhammad

Photobucket

About This Blog

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala. (An-Nisa'i : ayat 10)”

Wadi Arbain

Wadi Arbain

Kembali Dari Ardil Kinanah

Kembali Dari Ardil Kinanah

Jaulah Ke Semenanjung Sinai

Jaulah Ke Semenanjung Sinai

Doa Hari Sukan SK. Besout 4

Doa Hari Sukan SK. Besout 4

Ceramah Maulid SK. Besout 4

Ceramah Maulid SK. Besout 4

Kelas Tasmik

Kelas Tasmik

Our Blogger Templates

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP